PENGHANTARAN KE SELURUH MALAYSIA

Search

Akaun Saya

Bantuan

Checkout

Reviu Buku: Islam dan Demokrasi

Goodreads 14/100 2021

Islam dan Demokrasi | Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang | Pustaka Permata Ummah, 2021

Alhamdulillah, saya selesai membaca buku – kulit ke kulit – Islam dan Demokrasi karya Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang. Buku yang ke-14 untuk tahun ini. Secara umumnya, buku ini adalah edisi kemaskini daripada buku yang pernah diterbitkan oleh PTS Publications & Distributors Sdn Bhd pada tahun 2007. Buku terbitan Pustaka Permata Ummah memuatkan bahagian baharu yang bertajuk Pengalaman PAS dalam Demokrasi di Malaysia.

Pada pandangan saya, buku ini ditampilkan dengan susunan yang lebih kemas, disertakan dengan infografik dan ilustrasi ringkasan setiap bab. Hal ini memudahkan pembaca menghadam setiap bab yang ditulis. Buku ini mempunyai enam bahagian, iaitu;

1. Bahagian 1 : Sistem Politik Islam

2. Bahagian 2 : Sistem Demokrasi Barat

3. Bahagian 3 : Politik Barat yang Menyeleweng

4. Bahagian 4 : Perbandingan Politik Islam dan Demokrasi Barat

5. Bahagian 5 : Penglibatan Gerakan Islam dalam Demokrasi

6. Bahagian 6 : Pengalaman PAS dalam Demokrasi di Malaysia

Mengenali penulis buku ini, beliau pasti akan menulis setiap artikel atau bukunya dengan menghidangkan dalil-dalil Syari’e, sorotan sejarah dan penerangan konsep asas sesuatu topik. Selain itu, buku ini juga turut menghuraikan aspek teknikaliti sesuatu topik contohnya ketika membahaskan pembahagian demokrasi, sistem pilihan raya dan konsep institusi perwakilan dari negara-negara barat. Sudah tentu, rujukannya sangat luas merangkumi kitab-kitab turath dan buku2 akademik.

Pendekatan yang dibawa oleh penulis adalah pendekatan komparatif iaitu membandingkan politik Islam dan politik demokrasi barat sama ada daripada aspek perbezaan dan persamaan.

Saya secara peribadi lebih suka perbahasan yang ditulis dalam Bahagian 5 dan Bahagian 6. Kedua-dua bahagian ini menjelaskan real politik yang berlaku terhadap gerakan Islam yang bersaing dalam norma demokrasi seperti di Indonesia, Algeria, Turki, Mesir dan Palestin. Bukan hanya sekadar itu, beliau turut menggariskan peluang-peluang yang boleh dimanfaatkan bagi gerakan Islam yang memilih norma demokrasi dalam berpolitik.

Bahagian terakhir memaparkan lebih terperinci bagaimana PAS mengatur strateginya dalam berdakwah dan berpolitik dalam ruang demokrasi di Malaysia yang bermula dengan asas muwajahah silmiyyah sehingga yang terkini, Budaya Politik Matang dan Sejahtera. Pada muka surat yang ke-374 & 375, dilukiskan carta aliran penglibatan PAS dalam kerjasama politik bermula pada tahun 1959 sehingga 2020.

Alhamdulillah, membaca buku ini dapat memberikan tasawwur yang sangat baik kepada pembaca dalam memahami keistimewaan politik Islam yang ‘hidup’ dan dinamik dalam berhadapan dengan tentangan real politik yang berlaku pada hari ini. Solusinya ialah ‘Islam adalah Penyelesaian’. In Shaa’ Allah.

#Goodreads#MalaysiaMembaca2021

Pautan hantaran asal di halaman Facebook Tuan Mior Isfandy:

May be an image of book
Leave a Reply

×