PENGHANTARAN KE SELURUH MALAYSIA

Search

Akaun Saya

Bantuan

Checkout

ISLAM, DAKWAH DAN JIHAD: MEMAHAMI ISLAM SEBAGAI CARA HIDUP

Ulasan buku “Islam: Dakwah & Jihad” karya YB Tan Sri Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang yang membetulkan salah faham terhadap jihad dan menegaskan peranan dakwah dalam membina masyarakat dan negara.

Dalam dunia moden yang sarat dengan ideologi ciptaan manusia, Islam semakin kerap disempitkan kepada ritual peribadi dan ruang ibadah semata-mata. Pada masa yang sama, dakwah dan jihad sering dipisahkan daripada kerangka kehidupan beragama, malah dianggap sebagai unsur asing yang tidak lagi relevan dalam masyarakat moden. Akibatnya, umat Islam berhadapan kekeliruan yang mendalam tentang peranan sebenar mereka sebagai hamba dan khalifah Allah, sehingga usaha menegakkan kebenaran dan keadilan sering disalah tafsir, dipersoalkan atau ditakuti.

Kekeliruan ini bukan berlaku secara kebetulan atau semata-mata akibat kelemahan individu. Ia berpunca daripada pengaruh fahaman sekularisme, liberalisme serta naratif politik global yang secara sistematik memisahkan agama daripada urusan masyarakat dan negara. Dalam kerangka pemikiran ini, agama dilihat sebagai urusan peribadi, manakala urusan awam ditentukan sepenuhnya oleh akal dan kepentingan manusia. Maka tidak hairan apabila konsep jihad sering digambarkan secara negatif, terpisah daripada prinsip keadilan, hikmah dan tanggungjawab syariat, sehingga melemahkan kekuatan dalaman dan menatijahkan perpecahan sesama umat Islam.

Dalam konteks inilah buku Islam: Dakwah & Jihad karya Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang tampil sebagai satu karya fikrah yang penting dan tepat pada masanya. Melalui kerangka pemikiran Islam yang berakar pada al-Quran, al-Sunnah dan tradisi keilmuan Islam, penulis mengemukakan penjelasan yang tegas, berprinsip dan berdisiplin terhadap kedudukan dakwah dan jihad dalam Islam. Buku ini tidak ditulis dalam nada emosi atau reaktif, sebaliknya dibina atas asas ilmu, sejarah dan kefahaman yang menyeluruh tentang hakikat agama.

Antara kekuatan utama buku ini ialah penegasan bahawa Islam merupakan al-din yang lengkap dan menyeluruh. Islam bukan sekadar sistem kepercayaan atau amalan ritual, tetapi satu cara hidup yang merangkumi seluruh aspek kehidupan manusia. Dalam kerangka ini, dakwah dan jihad bukan dua jalan yang berasingan atau bersaing, sebaliknya merupakan satu amanah besar dalam pelaksanaan amar ma‘ruf dan nahi mungkar. Dakwah ialah usaha mengajak manusia kepada kebenaran dengan hikmah dan kebijaksanaan, manakala jihad pula ialah kesungguhan mempertahankan dan menegakkan kebenaran tersebut dalam pelbagai bentuk yang dibenarkan oleh syariat.

Buku ini dengan jelas membetulkan salah faham besar terhadap konsep jihad. Jihad tidak dihuraikan sebagai keganasan atau tindakan melulu yang lahir daripada kemarahan dan dendam, tetapi sebagai perjuangan bersungguh-sungguh yang berdisiplin, terikat dengan syarat, adab dan matlamat yang jelas. Jihad bertujuan menegakkan keadilan, mempertahankan maruah manusia, dan menolak kezaliman, selaras dengan tuntutan syariat dan akhlak Islam. Penegasan ini amat penting dalam suasana dunia hari ini, apabila istilah jihad sering dimanipulasi sama ada oleh musuh Islam mahupun oleh segelintir pihak yang memahami agama secara sempit dan terpisah daripada disiplin ilmu.

Perbincangan dalam buku ini dimulakan dengan asas konsep jihad, kedudukannya dalam agama serta kelebihan dan ancaman meninggalkannya. Penulis membawa pembaca memahami bahawa meninggalkan jihad dalam makna yang sebenar bukan sekadar kehilangan satu tuntutan agama, tetapi membawa implikasi besar terhadap kekuatan, maruah dan kedudukan umat Islam. Dari sini, pembaca dibawa meneliti realiti jihad dalam konteks dunia Islam masa kini, termasuk cabaran, tekanan global dan kekeliruan dalaman yang dihadapi oleh umat.

Pada masa yang sama, buku ini memberikan pencerahan yang penting khususnya kepada para pendakwah dan aktivis Islam. Dakwah tidak boleh difahami secara terpisah daripada kefahaman jihad yang luas dan menyeluruh. Tuntutan dakwah perlu diikat dengan usaha islah dalam masyarakat, merangkumi pelbagai aspek kehidupan seperti pendidikan, ekonomi, politik, sosial dan budaya. Islam tidak datang untuk membaiki individu secara terpisah, tetapi untuk membina masyarakat yang adil, seimbang dan berteraskan nilai wahyu.

Buku ini seterusnya menutup perbahasan dengan satu penegasan yang sangat signifikan bahawa kegagalan sistem ciptaan manusia dalam menyelesaikan krisis kemanusiaan, ketidakadilan dan keruntuhan nilai menuntut umat Islam kembali kepada penyelesaian yang selari dengan fitrah. Penyelesaian itu tidak lain tidak bukan ialah Islam yang dihayati secara menyeluruh, bukan Islam yang dipisah-pisahkan mengikut selera atau tekanan zaman. Islam datang sebagai rahmat untuk seluruh manusia, justeru wacana Islam tidak wajar terhad pada ruang peribadi atau ritual semata-mata, tetapi mesti dizahirkan dalam seluruh kehidupan bermasyarakat dan bernegara.

Secara keseluruhan, Islam: Dakwah & Jihad membantu pembaca memahami peranan seorang Muslim melangkaui pembinaan peribadi yang beriman dan berakhlak. Ia mengajak pembaca melihat dakwah dan jihad sebagai tanggungjawab bersama yang menuntut ilmu, kesatuan, kesabaran dan kebijaksanaan. Buku ini sesuai untuk pembaca yang mencari kefahaman Islam yang matang, berakar dan bertanggungjawab dalam mendepani cabaran zaman yang semakin kompleks. Tidak lain tidak bukan kerana Islam tidak diturunkan untuk difahami secara terpisah, tetapi untuk dihayati dan ditegakkan sebagai satu cara hidup yang sempurna.

Malik Razak

*Penulis merupakan Setiausaha Akhbar Presiden PAS

Leave a Reply

×