Timbul persoalan mana yang lebih berbahaya antara kemudaratan arak dan rasuah, sepertimana perbezaan mana yang lebih berat antara bodoh dan gila, atau mana yang lebih berbahaya antara mencuri dan merompak.
Jawapan kepada semua persoalan tersebut ialah kedua-duanya berbahaya, hanya terdapat perbezaan pada cara, pendekatan dan lapangan sahaja. Maka kedua-dua masalah arak dan rasuah adalah diharamkan oleh Islam.
Jika dilihat secara zahir, gila itu lebih berbahaya daripada jahil dan bodoh, tetapi kos untuk mengawal orang gila lebih murah daripada kos mengatasi kebodohan dan kejahilan. Ini kerana perbelanjaan bagi membuka sekolah untuk orang jahil dan bodoh lebih besar berbanding kos untuk mengawal dan merawat penyakit gila, kerana pengidap penyakit jahil dan bodoh lebih ramai daripada mereka yang gila.
Namun, kedua-duanya tidak boleh dibiarkan walaupun pada pandangan zahir bahawa gila itu lebih berbahaya.
Begitulah tidak sewajarnya bertindak ke atas perompak sahaja dan memberi lesen kepada pencuri kerana dikatakan merompak itu lebih berbahaya daripada mencuri mengikut nisbah cara pelaksanaannya.
Sepatutnya kedua-dua jenayah tersebut tidak boleh dibiarkan tanpa dilaksanakan tindakan pencegahan dan diberikan hukuman yang berbeza. Bukan hanya salah satu pihak sahaja yang dihukum kerana dianggap lebih berbahaya, sedangkan satu pihak lagi dibebaskan kerana kurang bahaya.
Islam mengharamkan perbuatan rasuah dan mencuri dengan nas yang nyata dalam al-Quran dan Hadis. Akan tetapi Islam membenarkan arak bagi penganut agama lain yang menghalalkannya, kerana kebebasan individu dan hak bagi diri serta kaumnya sahaja dengan syarat tidak mengganggu masyarakat sekeliling yang lain. Adapun rasuah diharamkan oleh semua agama tanpa sebarang pengecualian.
Hukuman bagi perbuatan meminum arak dan rasuah dalam Islam adalah berbeza.
Kesalahan meminum arak termasuk dalam jenayah hudud bagi penganut Islam sahaja, dan hukuman hudud tidak boleh dikenakan ke atas golongan bukan Islam.
Pada awal Islam, hukuman bagi mereka yang meminum arak ialah 40 kali sebatan, kemudian Khalifah Umar bin al-Khattab RA menerima ijtihad Saidina Ali bin Abi Talib RA supaya ditambah jumlahnya kepada 80 kali sebatan, kerana orang yang mabuk itu berbohong seperti juga hukuman qazaf.
Qazaf ialah tuduhan terhadap orang lain berzina tanpa didatangkan saksi, maka dijatuhkan hukuman sebat sebanyak 80 kali sebatan. Sebatan mengikut cara Islam yang berkonsepkan mendidik tanpa menyeksa dan mencederakan. Berbeza dengan sebatan yang diamalkan dalam undang-undang manusia pada hari ini.
Allah SWT menetapkan hukuman qazaf melalui firman-Nya:
﴿وَالَّذِينَ يَرْمُونَ الْمُحْصَنَاتِ ثُمَّ لَمْ يَأْتُوا بِأَرْبَعَةِ شُهَدَاءَ فَاجْلِدُوهُمْ ثَمَانِينَ جَلْدَةً وَلَا تَقْبَلُوا لَهُمْ شَهَادَةً أَبَدًا وَأُولَئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ٤﴾
“Dan orang-orang yang menuduh wanita-wanita yang baik (berbuat zina) dan mereka tidak mendatangkan empat orang saksi, maka deralah (sebat) mereka (yang menuduh itu) 80 kali sebatan, dan janganlah kamu terima kesaksian mereka buat selama-lamanya. Dan mereka itulah orang-orang yang fasiq.” (Surah al-Nur: 4)
Adapun masalah rasuah termasuk dalam hukuman takzir, mengikut kebijaksanaan pemerintah sama ada dijatuhkan hukuman penjara, sebatan, buang daerah, dirampas harta, sehingga dijatuhkan hukuman bunuh, kerana berbeza keadaan pelaku dan tahapnya. Bukan seperti hukuman undang-undang manusia pada hari ini yang sekadar penjara, hukuman denda atau dirampas harta.
Kadang-kadang seseorang individu mempunyai simpanan yang bersumberkan daripada harta rasuah di luar negara banyak berlipat kali ganda sehingga mencukupi untuk menyara hidup secara percuma sampai ke akhir hayat dengan menipu harta negara dan rakyat.
Apabila dijatuhkan hukuman takzir iaitu sebatan, maka tidak dibezakan antara jerung dan ikan bilis. Namun jika dikenakan hukuman penjara, akan ada perbezaan antara penjara VIP dengan penjara kelas rendah. Begitulah bezanya dan betapa adil hukum Islam sekiranya dikaji dan difahami dengan sebaik mungkin.
Hukuman meminum arak dan rasuah juga berbeza. Kedua-duanya tetap berbahaya dalam beberapa aspek dan dikenakan hukuman yang berbeza. Maka tidak boleh dinisbahkan mana yang lebih berat dengan timbangan kilogram atau ukuran meter. Apabila salah satunya diharamkan secara mutlak, maka tidak boleh kesalahan lain diberikan lesen untuk berjalan secara mutlak.
Apabila berlaku kebocoran tingkah laku dalam kawalan sehingga masalah itu berleluasa dan mengakibatkan kemudaratan kepada umum, maka boleh dibuat peraturan atau undang-undang tambahan yang melibatkan juga penganut bukan Islam. Contohnya apabila mereka yang mabuk telah menyebabkan berlakunya perlanggaran undang-undang jalan raya.
Pelanggaran undang-undang yang berlaku melibatkan kemalangan yang tidak mengira agama dan bangsa, menganggu masyarakat awam dan mempengaruhi pihak lain dalam masyarakat. Keadaan tersebut akhirnya menghilangkan keharmonian dan keluhuran moral bermasyarakat madani, maka hukum agama dan adat hendaklah dirungkai mengikut Siyasah Syar’iyyah atau Maqasid Syar’iyyah.
Contoh lain seperti undang-undang keselamatan jalan raya yang melibatkan keharmonian masyarakat majmuk secara menyeluruh, maka hendaklah disamakan dan tiada perbezaan antara agama dan adat resam sesuatu kaum.
Islam menegaskan hukum arak kerana meluasnya lebih daripada rasuah, maka Allah berfirman:
﴿يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنْصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ٩٠ إِنَّمَا يُرِيدُ الشَّيْطَانُ أَنْ يُوقِعَ بَيْنَكُمُ الْعَدَاوَةَ وَالْبَغْضَاءَ فِي الْخَمْرِ وَالْمَيْسِرِ وَيَصُدَّكُمْ عَنْ ذِكْرِ اللَّهِ وَعَنِ الصَّلَاةِ فَهَلْ أَنْتُمْ مُنْتَهُونَ٩١﴾
“Hai orang-orang yang beriman, sesungguhnya (meminum) khamar (arak), berjudi, (berkorban untuk) berhala, mengundi nasib dengan panah, adalah termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat keberuntungan. (90); Sesungguhnya syaitan itu bermaksud hendak menimbulkan permusuhan dan kebencian antara kamu lantaran (meminum) khamar dan berjudi itu, dan menghalangi kamu dari mengingat Allah dan sembahyang; maka berhentilah kamu (dari mengerjakan pekerjaan itu). (91).” (Surah al-Ma’idah: 90-91)
Maka kesalahan dalam penyalahgunaan dadah juga boleh dicampurkan dengan hukuman hudud dan takzir kerana ia masalah yang merebak lebih luas mengatasi masalah meminum arak.
Adapun menyentuh masalah rasuah, Allah SWT berfirman:
وَلَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُمْ بَيْنَكُمْ بِالْبَاطِلِ وَتُدْلُوا بِهَا إِلَى الْحُكَّامِ لِتَأْكُلُوا فَرِيقًا مِنْ أَمْوَالِ النَّاسِ بِالْإِثْمِ وَأَنْتُمْ تَعْلَمُونَ ﴿﴾١٨٨
“Dan janganlah sebahagian kamu memakan harta sebahagian yang lain antara kamu dengan jalan yang bathil dan (janganlah) kamu membawa (urusan) harta itu kepada hakim, supaya kamu dapat memakan sebahagian daripada harta benda orang lain itu dengan (jalan berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui.” (Surah al-Baqarah: 188)
Rasulullah SAW juga bersabda berkait dengan rasuah:
الرَّاشِي وَالْمُرْتَشِي فِيْ النَّارِ.
“Penerima rasuah dan pemberi rasuah kedua-duanya ke neraka.” (Riwayat al-Tabrani dalam Mu’jam al-Awsat 2026)
Apabila disebutkan dalam al-Quran dan Hadis, bermakna kedua-duanya adalah dosa besar yang dihukum di dunia dan akhirat, bukan di dunia sahaja. Jelas wujud perbezaan antara hukum Islam dengan undang-undang ciptaan manusia, kerana hukum Islam mempunyai roh aqidah tersendiri.
Undang-undang ciptaan manusia tidak mempunyai roh aqidah. Berbeza dengan hukum Islam apabila telah mendapat hukuman di dunia mengikut hukum Islam, maka tidak akan dihukum sekali lagi di alam barzakh dan ketika dihidupkan semula di hari akhirat. Sebaliknya jika terlepas daripada hukuman dunia dengan pelbagai helah, maka tetap akan dihukum di akhirat sekiranya tidak bertaubat.
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 14 Rabi’ul Akhir 1442 / 30 November 2020